"" AZMANMATNOOR: Kesihatan Peribadi

Sunday, April 9, 2017

Kesihatan Peribadi


MAHU SENTIASA SIHAT DAN PANJANG UMUR?
Contohi Cara/Gaya Hidup Orang Dulu-dulu
-KEKALKAN IKATAN KEKELUARGAAN
-MENGAWAL STRES
-AKTIF SECARA FIZIKAL
-MILIKI TUJUAN HIDUP
-MAKAN BANYAK SAYUR-SAYURAN
-MAKAN BERPADA-PADA

Oleh: BAHRAIN SAMAH, MH, MD (AM)
Pendidik/penulis genre perubatan preventif/alternative
AHAD /9 APRIL 2017
-Beberapa kajian menunjukkan tidak cukup tidur boleh menurunkan kadar metabolisme dan meningkatkan risiko peningkatan berat badan."
-Menghormati dan menyayangi warga tua dipercayai dapat membantu memanjangkan usia mereka dan anda.
-Pelbagai sayur-sayuran dijadikan makanan utama di samping nasi yang membantu orang dulu-dulu sihat dan panjang umur.

Tidakkah anda bahagia dan bersyukur apabila dapat menikmati kehidupan dengan umur panjang serta pada masa sama, anda sentiasa sihat dan bebas daripada penyakit?
Berikut merupakan sebahagian daripada amalan orang dulu-dulu yang penulis percaya sedikit sebanyak membantu mereka mengalami panjang umur dan sentiasa sihat.
MAKAN BERPADA-PADA
Kebiasaan berhenti makan sebelum kenyang sentiasa diamalkan oleh ramai orang dulu-dulu.
Masyarakat Okinawa iaitu masyarakat terbesar di Kepulauan Ryukyu, Jepun merupakan antara masyarakat yang mengalami jangka hayat paling lama di dunia. Budaya mereka terkenal kerana mereka mengamalkan cara hidup sihat seperti yang diamalkan oleh nenek moyang mereka.
Antara kebiasaan mereka ketika makan adalah menolak pinggan apabila mereka 80 peratus kenyang. Kebiasaan tersebut antara lain dikatakan berupaya membantu mencegah perut buncit! Orang yang mengamalkan cara makan seperti ini mengaku merasa diri mereka sentiasa sihat dan mata menjadi lebih terang.
Dari sudut agama Islam sendiri, Rasulullah SAW menasihatkan umat Islam tentang perihal adab makan iaitu,
“Tidaklah seorang anak Adam memenuhi wadah yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah anak Adam makanan (dalam redaksi Ibn Majah “suapan-suapan kecil") yang menegakkan tulang punggungnya. Jika harus lebih dari itu maka sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga udara. ” (Hadits direkod oleh at-Tirmidzi, Ibn Majah,
Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim)
Tulang punggung ialah tulang yang menopang keseluruhan badan. Jika kuat tulang ini maka kuatlah tubuh. Nasihat Rasulullah SAW tersebut merupakan nasihat yang bersifat sejagat (universal) dan terbaik.
MAKAN BANYAK SAYUR-SAYURAN
Orang dulu-dulu biasa makan nasi dengan sayur-sayuran. Sayur-sayuran yang mereka makan ialah bayam, pucuk manis, pucuk labu, pucuk ubi, pucuk keledek dan daun turi yang ditanam di sekeliling rumah. Mereka juga kerap makan ulam-ulaman yang tumbuh liar di halaman atau di kebun.
Mereka memakan ayam beberapa kali dalam setahun. Daging paling kurang. manakala ikan pula merupakan sumber protein yang sering dimakan. Jika tiada ikan basah, mereka akan makan ikan kering atau ikan bilis. Telur dimakan jika ayam yang dipelihara bertelur.
Air minuman mereka ialah minum air mineral yang didapati dari telaga/perigi, air sungai atau air mata air. Mereka tidak makan makanan proses tetapi makan nasi dari beras tidak ceruh dan snek mereka terdiri daripada buah-buahan seperti betik, belimbing dan mempelam yang bergantung pada musim.
MILIKI TUJUAN HIDUP
Kajian menunjukkan kesenangan subjektif seperti puas hati dengan kehidupan, tiada emosi negatif, sentiasa optimis dan emosi positif dikaitkan dengan
keadaan kesihatan lebih baik dan memanjangkan umur.
Bagi orang Islam, pada setiap kali solat mereka akan membaca doa iftitah, antara lain berbunyi,
"Inna shalati, wanusuki, wamayahya, mawamati lillahi rabbil ‘alamin’."
Maksudnya: Segala apa yang ada pada diri ini, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, hanya untuk ALLAH semata.
Doa tersebut menjadikan kehidupan orang dulu-dulu mempunyai tujuan mUmi iaitu bersikap ikhlas kepada ALLAH SWT dalam perbuatan/urusan keduniaan dan ukhrawi.
Mendirikan solat lima waktu secara tekun membantu mengukuhkan iman dan menjadikan mereka sentiasa bersyukur (puas hati), berupaya mengawal diri/emosi apabila mengalami ujian/dugaan, mengikis emosi negatif dan sentiasa beremosi positif.
Pelbagai sayur-sayuran dijadikan makanan utama di samping nasi yang membantu orang dulu-dulu sihat dan panjang umur.
AKTIF SECARA FIZIKAL
Kajian terkini menunjukkan mereka yang bekerja di pejabat dan terkunci punggung di kerusi sepanjang waktu kerja dikaitkan dengan umur pendek. Ada orang mengatakan bahawa lebih kerap pergi ke tandas dan menyediakan teh merupakan cara untuk bergerak ketika bekerja di pejabat
Jangan lupa menunaikan solat kerana ia juga merupakan satu senaman! Solat dengan ikhlas dan sabar akan menimbulkan rasa khusyuk. Hasilnya bukan sahaja anda menghadapkan diri kepada ALLAH malah melenturkan struktur badan, tisu dan saraf termasuk otak. Ia juga menjadikan anda lebih relaks.
MENGAWAL STRES
Stres emosi seperti sedih, risau, resah dan marah dialami oleh sesiapa sahaja. Namun jika tidak ditangani dengan sempuma, ia boleh berubah menjadi stres kronik (stres jangka panjang).
Stres kronik boleh mencetuskan pelbagai penyakit misalnya kerap demam, batuk, artritis, sembelit dan diarea. Lebih buruk lagi stres kronik dipercayai boleh menyebabkan antara lain diabetes 2 (baca artikel penulis berjudul Stres Emosi Punca Diabetes 2, Sinar Harian), tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari, hepatitis, dan sindrom rengsa usus (irritable bowel syndrome).
Mencari punca stres dan menyelesaikannya merupakan prioriti. Bagi orang Islam, mengadu kepada ALLAH dengan doa berterusan dan menerapkan prinsip qada dan qadar boleh meredakan stres. Membaca AL-Quran, mendengar ceramah agama dan bersosial dalam batas dibenarkan agama juga membantu.
Diabetes 2
KEKALKAN IKATAN KEKELUARGAAN
Mengutamakan kepentingan keluarga dalam bentuk silaturahim dan menjaga ikatan kekeluargaan boleh membahagiakan bukan sahaja buat diri sendiri malah orang yang anda sayangi.
Ia dilakukan dengan antara lain mengelakkan diri daripada ‘membuang’ ibu-bapa yang telah tua ke rumah orang tua. Sebaliknya, peliharalah mereka di rumah anda sendiri - suatu perbuatan yang sangat terpuji dan mulia!
Nota: Perbincangan di dalam artikel ini adalah berdasarkan pandangan penulis yang mendapati bahawa banyak antara perbuatan dan sikap orang dulu-dulu memiliki nilai positif daripada segi psiko-emosi, fizikal (tubuh) dan kerohanian.
Mana yang baik kita jadikan teladan.

No comments:

Post a Comment